Wednesday, July 3, 2013

TAK SEMPAT BACA FATIHAH

TAK SEMPAT BACA FATIHAH

Soalan; saya ingin bertanya tentang makmum yang belum habis fatihahnya sedangkan imamnya telahpun ruku’. Adakah ia perlu juga menghabiskan fatihahnya atau ia terus ruku’ bersama imam â€"sekalipun fatihah belum habis dibaca-?

Jawapan;

Para ulamak berikhtilaf dalam masalah; adakah makmum juga wajib membaca al-Fatihah di belakang imamnya?

1. Menurut mazhab Imam Syafi’ie; makmum wajib membaca al-Fatihah sebagaimana imamnya juga sama ada dalam solat/rakaat yang dibaca perlahan atau di baca kuat, yakni bacaan al-Fatihah imam tidak memadai untuknya.

2. Menurut mazhab-mazhab yang lain (Hanafi, Maliki dan Hanbali); makmum tidak wajib membaca al-Fatihah di belakang imamnya, yakni memadai bacaan imam untuknya atau dalam pengertian yang lain; imam telah menanggung bacaan untuknya, jadi tidak wajib lagi ia membacanya. Cuma sebahagian mereka mensunatkan makmum membacanya dalam solat/rakaat yang tidak dibaca kuat (oleh imam) atau jika makmum tidak dapat mendengar bacaan imamnya.

Merujuk kepad a masalah di atas, apabila imam telah ruku’ dan kita belum selesai membaca al-Fatihah, mengikut pandangan jumhur; hendaklah kita terus ruku’ bersama imam dan tidak perlu kita berusaha menghabiskan bacaan Fatihah kita kerana ia telah ditanggung oleh Imam kita. Namun jika pandangan Imam Syafi’ie yang kita ikuti, wajiblah kita menghabiskan juga fatihah kita sebelum ruku’ kerana Fatihah wajib atas makmum sebagaimana wajib atas imam. Untuk dikira rakaat kita bersama imam, kita hendaklah ruku’ sebelum imam bangun dari sujud yang kedua. Ini kerana menurut mazhab Syafi’ie, makmum â€"atas sebab keuzuran (yakni lambat dalam bacaan)- hanya diizinkan untuk ketinggalan dari imamnya setakat tiga rukun panjang sahaja.[1] Jika kita masih belum selesai membaca al-Fatihah sedangkan imam telah pun bangun dari sujud keduanya, maka tidak perlu lagi kita ruku’, s ebaliknya kita menunggu imam di rakaat berikutnya dan meneruskan solat bersama imam seperti biasa, kemudian apabila imam memberi salam kita pun menambah rakaat yang ketinggalan itu.

Itu bagi makmum yang mengikuti imamnya dari mula solat lagi. Adapun makmum yang datang lewat di mana ia sampai ketika imam hampir hendak ruku’ (mengikut pemerhatiannya), hendaklah ia bertakbir dan terus membaca al-Fatihah. Apabila imamnya ruku’, hendaklah ia ruku’ bersama imam tanpa perlu menghabiskan fatihahnya. Jika ia sampai ketika imam telah ruku’, hendaklah ia bertakbir dan kemudian terus ruku’ bersama imam (tanpa perlu membaca fatihah lagi). Bagi kes ini â€"dalam mazhab Syafi’ie sendiri-, bacaan fatihah makmum telah ditanggung oleh imamnya. 

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Mugni, Imam Ibnu Qudamah, 1/394.
2. al-Fiqh al-Manhaji, 1/81.
2. 60 Hadis Sifat Solat Nabi, Us. Ahmad Adnan Fadzil. Kumbang Jingga

No comments:

Post a Comment